“Sumayyah, rasanya awak akan terpilih ke PLKN.” Cikgu Balqis bersuara secara tiba-tiba kepadaku. Jari jemariku yang sedang laju menulis serta otakku yang ligat berfikir mencari jawapan bagi latihan yang diberikan tersentak mendengar ayat tersebut keluar daripada lisan salah seorang guru kesayanganku. “Be..tul..ke cikgu? Sa..ya ter..pilih? Tapi…kenapa saya?” Cikgu Balqis menjawab soalanku dengan senyuman sahaja. Pen yang sedari tadi di jariku ku genggam erat.Wajahku muram.Tak mampu lagi memberi tumpuan kepada latihan yang wajibku siapkan.
Kukongsikan kegusaran hati bersama ibu tercinta. Sang ibu cuba menenangkan perasaanku. “Insha Allah..belum pasti lagi kan? “ Aku menganggukkan kepala. Dalam sujudku permintaan agar tak terpilih ke PLKN kuadukan sang Ilahi. Aku turut bernazar. Takut benar rasa dihati.
*****************************************************************
Akhir tahun 2008 aku dikejutkan dengan kedatangan surat yang tertulis nama penuhku. Gerangan dari siapakah ini?
Hati berdebar secara tiba-tiba. Jari jemariku ligat mengoyak sampul tersebut. Tak selalunya aku melakukan yang sedemikian.
‘TAHNIAH! ANDA TERPILIH UNTUK MEMASUKI PUSAT LATIHAN KHIDMAT NEGARA KUMPULAN 1 SIRI 5’
Bulat mataku membacanya. Tiba-tiba hatiku menjadi sebak. Amat sebak hingga air mata mengalir ke pipi tanpaku sedari. Surat itu kutunjukksn kepada Si ibu yang sedang sibuk di dapur. “Tak apa. Insha Allah, Sumayyah boleh. Cuba dahulu.”Ibuku memberi semangat.
Namun hatiku masih gelisah. Tetap gelisah menunggu tibanya hari yang amat menakutkan itu. Hari di mana aku akan dipisahkan dari ibuku dan keluargaku selama tiga bulan. Sungguh aku tak sanggup! Aku tidak sama seperti adik beradikku. Mereka bersekolah asrama, aku sebaliknya.
Bukan kerana aku anak manja tapi aku tak mampu berjauhan daripadanya, insan yang melahirkanku itu.
****************************************************************
Namun, aku perlu menerima segala ketentuan Allah dengan hati yang redha. Siapa aku untuk menolak takdir-Nya? Aku hanyalah seorang hamba. Mahu atau tidak aku tetap akan berjalan atas titian kehidupan yang telah Allah takdirkan untuk aku.
“Ummi, doakan Sumayyah ya. “ Tak mampu aku mengungkapkan kata-kata yang lebih panjang. Hatiku amat sebak. Aku memeluk insane di hadapanku itu dengan pelukan yang amat kuat. Andai sahaja aku bisa membawanya sekali mengikutiku.
Aku mengambil tempat di tepi cermin bas sambil melambai-lambaikan tangan kepada wanita yang amat kucintai itu. Air mataku terus mengalir deras. Insan-insan yang sebayaku di dalam bas terus bergelak tawa dengan gembiranya. Amat gembira seolah-olah mereka bebas dari penjara yang telah membelenggu diri mereka. Tak nampakkah mereka peristiwa yang menyayat hati sedang berlaku di hadapan mereka. Ah! Peduli apa mereka!
Bas terus bergerak laju menuju ke destinasinya. Hatiku semakin takut. Air mataku pula telah kering. Tenagaku hilang dek kepenatan menangis. Akhirnya hanyutlah aku di buai mimpi.
“Em..awak..awak..kita dah sampai.” Gadis di sebelahku menggoyang-goyangkan badanku. Aku terbangun. Aku senyum padanya.
Kulihat hanya kami berdua di dalam bas tersebut. Aku lalu bangun dan mengikuti gadis yang namanya pun tak kuketahui itu.
Kami semua dikumpulkan di suatu tempat lapang. Lelahku masih tersisa. Terbayang tilam dan bantalku di rumah. Alangkah rindunya aku kepada tempat beraduku itu.
Beberapa lelaki dan wanita dewasa berdiri di hadapan kami. Setiap daripada mereka memperkenalkan diri mereka. Tak dapat kuingat setiap nama-nama mereka. Hanya yang kupasti panggilan setiap daripada mereka adalah ‘cikgu’.
Kemudian, kami diminta beratur dengan membawa barang kami.
Sampai jua giliranku. Setiap begku diperiksa. Mudah sahaja tangan mereka menyeluk masuk ke dalam beg pakaianku tak ubah seperti pegawai kastam. Aku membiarkan sahaja. Tiba-tiba salah seorang cikgu berkata kepadaku, “Banyaknya pakaian yang awak bawa. Nak duduk selama tiga bulan atau tiga tahun?” Pipiku merah menahan malu. Mulutku pula terkunci rapat.
(Bersambung)
No comments:
Post a Comment