Sunday, December 23, 2012

Aku tetap aku



“Sumayyah, rasanya awak akan terpilih ke PLKN.” Cikgu Balqis bersuara secara tiba-tiba kepadaku. Jari jemariku yang sedang laju menulis serta otakku yang ligat berfikir mencari jawapan bagi latihan yang diberikan tersentak mendengar ayat tersebut keluar daripada lisan salah seorang guru kesayanganku. “Be..tul..ke cikgu? Sa..ya ter..pilih? Tapi…kenapa saya?”  Cikgu Balqis menjawab soalanku dengan  senyuman sahaja.  Pen yang sedari tadi di jariku ku genggam erat.Wajahku muram.Tak mampu lagi memberi tumpuan kepada latihan yang wajibku siapkan.

Kukongsikan kegusaran hati bersama ibu tercinta. Sang ibu cuba menenangkan perasaanku. “Insha Allah..belum pasti lagi kan? “ Aku menganggukkan kepala. Dalam sujudku permintaan agar tak terpilih ke PLKN kuadukan sang  Ilahi. Aku turut bernazar. Takut benar rasa  dihati.

*****************************************************************

Akhir tahun 2008 aku dikejutkan dengan kedatangan surat yang tertulis nama penuhku. Gerangan dari siapakah ini? 
Hati berdebar secara tiba-tiba. Jari jemariku ligat mengoyak sampul tersebut. Tak selalunya aku melakukan yang sedemikian.

‘TAHNIAH! ANDA TERPILIH UNTUK MEMASUKI PUSAT LATIHAN KHIDMAT NEGARA  KUMPULAN 1 SIRI 5’

Bulat mataku membacanya.  Tiba-tiba hatiku menjadi sebak. Amat sebak hingga air mata mengalir ke pipi tanpaku sedari. Surat itu kutunjukksn kepada Si ibu yang sedang sibuk di dapur. “Tak apa. Insha Allah, Sumayyah boleh. Cuba dahulu.”Ibuku memberi semangat. 

Namun hatiku masih gelisah. Tetap gelisah menunggu tibanya hari yang amat menakutkan itu. Hari di mana aku akan dipisahkan dari ibuku dan keluargaku selama tiga bulan. Sungguh aku tak sanggup! Aku tidak sama seperti adik beradikku. Mereka bersekolah asrama, aku sebaliknya. 

Bukan kerana aku anak manja tapi aku tak mampu berjauhan daripadanya, insan yang melahirkanku itu.

****************************************************************

Namun, aku perlu menerima segala ketentuan Allah dengan hati yang redha. Siapa aku untuk menolak takdir-Nya? Aku hanyalah seorang hamba. Mahu atau tidak aku tetap akan berjalan atas titian kehidupan yang telah Allah takdirkan untuk aku.

“Ummi, doakan Sumayyah ya. “ Tak mampu aku mengungkapkan kata-kata yang lebih panjang. Hatiku amat sebak.  Aku memeluk insane di hadapanku itu dengan pelukan yang amat kuat. Andai sahaja aku bisa membawanya sekali mengikutiku.

Aku mengambil tempat di tepi cermin bas sambil melambai-lambaikan tangan kepada wanita yang amat kucintai itu. Air mataku terus mengalir deras. Insan-insan yang sebayaku di dalam bas terus bergelak tawa dengan gembiranya. Amat gembira seolah-olah mereka bebas dari penjara yang telah membelenggu diri mereka. Tak nampakkah mereka peristiwa yang menyayat hati sedang berlaku di hadapan mereka. Ah!  Peduli apa mereka!

Bas terus bergerak laju menuju ke destinasinya. Hatiku semakin takut. Air mataku pula telah kering. Tenagaku hilang dek kepenatan menangis. Akhirnya hanyutlah aku di buai mimpi.

“Em..awak..awak..kita dah sampai.” Gadis di sebelahku menggoyang-goyangkan badanku. Aku terbangun. Aku senyum padanya.

Kulihat hanya kami berdua di dalam bas tersebut. Aku lalu bangun dan mengikuti gadis yang namanya pun tak kuketahui itu.

Kami semua dikumpulkan di suatu tempat lapang. Lelahku masih tersisa. Terbayang tilam dan bantalku di rumah. Alangkah rindunya aku kepada tempat beraduku itu.

Beberapa lelaki dan wanita dewasa berdiri di hadapan kami. Setiap daripada mereka memperkenalkan diri mereka. Tak dapat kuingat setiap nama-nama mereka. Hanya yang kupasti panggilan setiap daripada mereka adalah ‘cikgu’.

Kemudian,  kami diminta beratur dengan membawa barang kami.
Sampai jua giliranku. Setiap begku diperiksa. Mudah sahaja tangan mereka menyeluk masuk ke dalam beg pakaianku tak ubah seperti pegawai kastam. Aku membiarkan sahaja. Tiba-tiba salah seorang cikgu berkata kepadaku, “Banyaknya pakaian yang awak bawa. Nak duduk selama tiga bulan atau tiga tahun?” Pipiku merah menahan malu. Mulutku pula terkunci rapat.

(Bersambung)

Monday, November 19, 2012

Kembali kepada niat..


Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing. Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih terbayang-bayang di ruang mata.

Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu Qotzman. Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu. “Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat. Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, “Sebenarnya dia itu adalah golongan penduduk neraka.” 



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk dalam neraka.
Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar jawapan Rasulullah itu.

Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya, lantas baginda berkata, “Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya.” “Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka.”

Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan, katanya, “Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.”
Riwayat ini telah dirawikan oleh Luqman Hakim.

Thursday, October 4, 2012

Aku Hanyalah Seorang Da'e

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu diusahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai’e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa…

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi’. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah…

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan…

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya


Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…
Wahai Dai’e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da’wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.
Menyoroti kehidupan Dai’e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:


“Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: 
“Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya”

(Al-Furqan:56-57)


Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:


“Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim” 
(Al-Anbiyaa’:87)


Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai’e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…


Inilah Dai’e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan…

HIBURAN YANG BERKAITAN

Thursday, September 20, 2012

Bila Izrail datang memanggil.......


Baginda Rasullullah S.A.W berkata:


Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan
malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik
rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai kelutut.
Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari
lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. 
Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu."

Sambung Rasullullah S.A.W. lagi:


"Kalau orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibrail A.S. akan menebarkan sayapnya yang disebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada disekelilinginya. Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga dan melihat terus pandangannya kepada sayap Jibrail A.S."


"Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibrail A.S. akan menebarkan sayap disebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa itu orang itu tidak lagi melihat orang disekelilinginya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya."
Dari sebuah hadis bahawa apabila Allah S.W.T. menghendaki seorang mukmin itu dicabut nyawanya maka datanglah malaikat maut. Apabila malaikat maut hendak mencabut roh orang mukmin itu dari arah mulut maka keluarlah zikir dari mulut orang mukmin itu dengan berkata:
"Tidak ada jalan bagimu mencabut roh orang ini melalui jalan ini kerana orang ini sentiasa menjadikan lidahnya berzikir kepada Allah S.W.T."


Setelah malaikat maut mendengar penjelasan itu, maka dia pun kembali kepada Allah S.W.T. dan menjelaskan apa yang diucapkan oleh lidah orang mukmin itu. Lalu Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikat maut, kamu cabutlah ruhnya dari arah lain."


Sebaik saja malaikat maut mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut pun 
cuba mencabut roh orang mukmin dari arah tangan. Tapi keluarlah sedekah dari arah tangan orang mukmin itu, keluarlah usapan kepala anak-anak yatim dan keluar penulisan ilmu. Maka berkata tangan:
"Tidak ada jalan bagimu untuk mencabut roh orang mukmin dari arah ini, tangan ini telah mengeluarkan sedekah, tangan ini mengusap kepala anak-anak yatim dan tangan ini menulis ilmu pengetahuan."

Oleh kerana malaikat maut gagal untuk mencabut roh orang mukmin dari arah tangan maka malaikat maut cuba pula dari arah kaki. Malangnya malaikat maut juga gagal melakukan sebab kaki berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana kaki ini sentiasa berjalan berulang alik mengerjakan solat dengan berjemaah dan kaki ini juga berjalan menghadiri majlis-majlis ilmu."

Apabila gagal malaikat maut, mencabut roh org mukmin dari arah kaki, maka malaikat maut cuba pula dari arah telinga. Sebaik saja malaikat maut menghampiri telinga maka telinga pun berkata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini kerana telinga ini sentiasa mendengar bacaan Al-Quran dan zikir."


Akhir sekali malaikat maut cuba mencabut orang mukmin dari arah mata tetapi baru saja hendak menghampiri mata maka berkata mata:
"Tidak ada jalan bagimu dari arah ini sebab mata ini sentiasa melihat
beberapa mushaf dan kitab-kitab dan mata ini sentiasa menangis kerana takutkan
Allah."



Setelah gagal maka malaikat maut kembali kepada Allah S.W.T. Kemudian Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Wahai malaikatKu, tulis Asma-Ku ditelapak tanganmu dan tunjukkan kepada roh orang yang beriman itu."

Sebaik saja mendapat perintah Allah S.W.T. maka malaikat maut menghampiri roh orang itu dan menunjukkan Asma Allah S.W.T. Sebaik saja melihat Asma Allah dan cintanya kepada Allah S.W.T maka keluarlah roh tersebut dari arah mulut dengan tenang.


Abu Bakar R.A. telah ditanya tentang kemana roh pergi setelah ia keluar dari jasad. Maka berkata Abu Bakar R.A:

"Roh itu menuju ke 7 tempat":


  1.  Roh para Nabi dan utusan menuju ke Syurga Adnin.
  2.  Roh para ulama menuju ke Syurga Firdaus.
  3.  Roh mereka yang berbahagia menuju ke Syurga Illiyyina.
  4. Roh para shuhada berterbangan seperti burung di syurga mengikut kehendak mereka.
  5. Roh para mukmin yang berdosa akan tergantung di udara tidak di bumi dan tidak di langit   sampai hari kiamat.
  6. Roh anak-anak orang yang beriman akan berada di gunung dari minyak misik.
  7. Roh orang-orang kafir akan berada dalam neraka Sijjin, mereka diseksa berserta jasadnya hingga sampai hari Kiamat.


Telah bersabda Rasullullah S.A.W :


"Tiga kelompok manusia yang akan dijabat tangannya oleh para malaikat pada hari mereka keluar dari kuburnya :"



  1. Orang-orang yang mati syahid.
  2. Orang-orang yang mengerjakan solat malam dalam bulan ramadhan.
  3. Orang berpuasa di hari Arafah.




Hiburan yang berkaitan





Boleh atau tidak?

Bismillahirrahmanirrahim..
Masih tersisa di fikiran membaca mesej yang masuk dalam inbox facebook semalam.
"Assalamualaikum wbt. Maaf adik mengganggu akak. Sebenarnya adik ada soalan yang ingin ditanya pada akak dan harap sangat akak akan jawab.
Salahkah jika adik jatuh cinta?
Terima kasih kak, adik tunggu jawapan daripada akak."
Mengimbas semula soalan-soalan yang serupa pernah ditanya. Aduh..
Soalan berat yang ditanya pada diri yang serba dhaif ini dan masih lagi mencedok ilmu daripada yang lebih alim. Tapi, Insha-Allah saya akan cuba memberi jawapan semampunya.

Apa itu cinta?


  • Fitrah kejadian manusia ingin mencintai dan dicintai.
  • Cinta adalah perasaan terpaut dalam hati terhadap sesuatu/seseorang.
  • kebiasaannya, yang dicintai akan selalu berada di fikiran dan dilantunkan melalui lidah. Sekalipun lidah mengatakan benci, tapi jika selalu menyebut tentangnya maka sebenarnya dia telah mencintai seseorang/sesuatu itu. Hal ini boleh diambil dalam kisah Rabiatul Adawiyah yang diziarahi saudara seislamnya. 

"Suatu hari Rabi'ah didatangi seorang wanita untuk menziarahinya yang sedang sakit. Wanita tersebut tahu  Rabi'ah seorang wanita zuhud maka dia pun mencela dunia di hadapan Rabi'ah. Melihat akan hal tersebut, Rabi'ah berkata, janganlah lidahmu mencela dunia kerana sesungguhnya hatimu mencintainya. Sesungguhnya perkara yang dicintai akan terbit di lidah.
Berdosakah jatuh cinta?

  • Seperti yang dijelaskan di atas, cinta adalah suatu perasaan. Siapakah yang mengurniakan perasaan tersebut? Bukankah Allah? Jadi jawapannya tidak berdosa jatuh cinta kerana ianya anugerah daripada Allah.
  •  Bahkan cinta akan membuahkan pahala dan Rahmat Allah. Saya kepilkan antara hadis terkenal sebagai penguat kenyataan:
"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan, mereka bukan daripada kalangan nabi ataupun syuhada, tetapi para nabi dan syuhada mencemburui mereka. Tempat mereka di sisi Allah SWT. Berkata para sahabat, khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah SWS bersabda, mereka adalah satu kaum yang saling mencintai kerana Allah. Bukan ada hubungan saudara mara antara mereka dan juga bukan kerana kepentingan. Pada wajah mereka ada cahaya. Ketika manusia takut, mereka tidak takut dan ketika manusia sedih mereka tidak sedih. Mereka berkata sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih. HR Abu Daud"
  •  Bagaimana jika dikatakan cinta juga boleh menggugurkan dosa? Nah..ini buktinya.
 "Sesungguhnya seorang muslim apabila bertemu saudaranya yang muslim, lalu ia memegang tangannya (berjabat tangan) gugurlah dosa kedua-duanya sebagaimana gugurnya daun dan pohon kering jika ditiup angin kencang. Sungguh diampuni dosa mereka berdua meski sebanyak buih di lautan. HR Tabrani"
Jika begitu, maknanya boleh bercinta ya?


  • Perlu difahami beza antara jatuh cinta dengan bercinta. Mungkin sekali imbas kita mengatakan kedua-duanya sama. Tidak! Sama sekali tidak sama. Saya ulangi, jatuh cinta merupakan perasaan sedangkan bercinta merupakan perhubungan antara seseorang dengan yang dicintainya.
  • Jawapan saya bagi persoalan di atas, ya..anda boleh bercinta. Teruskan mencintainya. Tetapi cintailah mereka yang berhak anda cintai. Ya..seperti ibu, ayah, adik beradik, saudara seislammu dan banyak lagi golongan yang berhak atas cinta anda. Terutamanya, cintailah Tuhan penciptamu dan juga kekasih-Nya, Rasulullah SWS    
Bagaimana pula 'bercouple'? 

  • Tentu sahaja boleh...Tetapi bagi mereka yang sudah halal untukmu. Tidak salah kan 'bercouple' selepas nikah. Elakkannya sebelum dia halal untuk anda, percayalah..ia akan lebih manis dan lebih lama berbanding sebelum nikah. Ingat semula hadis baginda Rasulullah SWS daripada Ukbah Bin Amir:
"Maka jangan sekali-kali seorang lelaki bersendirian dengan seorang wanita yang bukan mahramnya kerana yang ketiganya adalah syaitan. HR Tirmizi"
 Tak cukup? Saya tambahi lagi perisanya. Daripada Ibnu Mas'ud, sabda Rasulullah SWS:
"Pandangan mata itu adalah anak panah daripada panah-panah Iblis. Maka barangsiapa meninggalkannya kerana takut kepada-Ku nescaya Aku (Allah) gantikannya dengan Iman yang dirasakan lazat manisnya dalam hati. HR Thabrani dan Hakim"

  • Kami tak berjumpa, hanya melalui mesej dan telefon sahaja.
Masih tak boleh kerana niatnya 'bercople' bukan? Tetapi jika ianya atas sesuatu urusan yang dibenarkan syara' maka hukumnya harus. Namun mesti diingat, suara jangan sekali-kali dilunakkan.
 "Hai isteri-isteri nabi,kamu sekalian tidaklah seperti wanita lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu melunakkan suara dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkalah perkataan yang baik. Surah Al-Ahzab:32"


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Kesimpulannya

 "Cinta itu tidak berdosa tetapi manusia yang bercinta itulah yang membuat dosa jadi bezakanlah antara cinta dan perbuatan manusia ketika bercinta. Oleh itu buat mereka yang jatuh cinta atau sedang mencintai seseorang maka jadikanlah cinta anda itu sebagai cinta yang membuahkan pahala. Orang yang beriman apabila mencintai seseorang maka orang yang dicintai itu akan mendapat kebaikan daripada keimanannya!"


"Nak menyukai seorang seseorang itu juga tidak ada masalah. Tapi, kena ingat. Hidup kita ini ibadah. Cinta itu juga ibadah. Maka ibadah kehidupan ini akan menjadi lebih indah jika dihiaskan dengan ibadah cinta yang benar. Jadi , janganlah kita campuri ibadah yang sangat indah itu tadi dengan nilai-nilai kemaksiatan.” 

Rujukan

  • Encik Google
  • Puan Kitab

Hiburan yang berkaitan

Saturday, September 15, 2012

Terima Kasih Wahai Kekasihku

Insya-Allah.. 
Hadiah daripada saya bagi penggemar novel.
Sedikit coretan yang dapat saya kongsikan..


“Awak mengadulah pada kekasih kita. Minta padanya. Insya-Allah ada jalan keluar bagi setiap permasalahan awak. Saya doakan  awak mendapat jalan keluar bagi masalah yang dihadapi. Adalah lebih baik awak tak berkongsi dengan saya. Bukan saya tak mahu mendengar. Hanya mahu menjaga hati ini. Bukankah kekasih kita sedang menyaksikan segalanya? Pasti awak faham maksud saya. Walau apapun saya hanyalah tunang awak. Saya ulangi, hanya tunang awak. Maafkan saya.”

 
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Dapatkan keseluruhan ceritanya daripada novel yang bakal diterbitkan tak lama lagi. 
Insya –Allah..